Tuesday, October 27, 2009

CINTA YANG INDAH



ERMMMMMM.......
CERITA PASAL CINTA memang menarik kerana cinta itu indah.......
tapi sejauhmanakah cinta INI DAPAT MEMBAWA KITA KEPADA KEBAIKAN
JIKA KITA cinta pada seseorang APAKAH ADAKAH CINTA ITU KEKAL ABADI??????
ermmmmmmmm mungkin kata ini dapat menguraikan ape yang saya maksudkan mungkin betul mungkin tidak ini dari pandangan saya,,,,,,,,

JIKA KITA CINTA PADA BUNGA IA AKAN LAYU.....
JIKA KIA CINTA KEPADA BARANG MUNGKIN IA AKAN HILANG DARI PANDANGAN
JIKA KITA CINTA PADA SESEORANG IA AKAN PERGI MENINGGALKAN KITA,,,,,,,,,,,,
JIKA KITA CINTA PADA ALLAH IA AKAN KEKAL SELAMA-LAMANYA.......



jika anda ada sebarang pandanga atau sebarang komen boleh la terus comment didalam blog ini atau terus e-mail kan di alamat ini.... klip disini

KELEBIHAN ORANG YANG BERZIKIR KEPADA ALLAH




Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya kaum fakir dari golongan para sahabat Muhajirin mendatangi Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Orang-orang yang memiliki harta banyak itu sama pergi -yakni meninggal dunia - dengan membawa derajat yang tinggi-tinggi dan kenikmatan yang kekal. Sebabnya ialah karena mereka bersembahyang sebagaimana kita bersembahyang, mereka ber-puasa sebagaimana kita berpuasa, lagi mereka mempunyai ke-lebihan dari harta-harta mereka dan dapat mereka gunakan untuk beribadat haji, berumrah, berjihad serta bersedekah." Beliau s.a.w. lalu bersabda:"Tidakkah engkau semua suka kalau saya ajarkan kepadamu semua sesuatu yang dengannya itu engkau semua dapat mencapai pahala orang yang telah mendahuluimu dan dapat men-dahului orang yang sesudahmu. Juga tiada seorangpun yang lebih utama pahalanya daripadamu semua, selain orang yang mengerjakan sebagaimana yang engkau kerjakan itu?" Mereka menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau s.a.w. bersabda: "Hendaklah engkau semua membaca tasbih, tahmid dan takbir sehabis shalat - wajib -sebanyak tigapuluh tiga kali masing-masing."

Abu Shalih yang meriwayatkan Hadis ini dari Abu Hurairah, ketika ditanya bagaimana cara menyebutkan tasbih, tahmid dan takbir itu, lalu menjawab: "Orang yang berzikir itu supaya me-ngucapkan: "Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar - Maha Suci Allah dan segenap puji bagi Allah dan Allah adalah Maha Besar." Sehingga jumlah semuanya itu ada tigapuluh tiga kali. (Riwayat Bukhari, Muslim)Imam Muslim menambahkan dalam riwayatnya: "Lalu kembalilah kaum fakir dari golongan sahabat Muhajirin itu kepada Rasulullah s.a.w. lalu mereka berkata: "Saudara-saudara kita yakni orang-orang yang berharta sudah sama mendengar apa yang kita kerjakan ini, kemudian merekapun mengerjakan seperti itu pula." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Yang sedemikian itu adalah keutamaan Allah yang diberikan kepada orang yang di- kehendaki."

Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Rasulullah s.a.w. bersabda :"Barangsiapa yang membaca Subhanallah sehabis tiap bersembahyang - wajib - sebanyak tigapuluh tiga kali dan membaca Alhamdudillah sebanyak tigapuluh tiga kali dan pula membaca Allahu Akbar sebanyak tigapuluh tiga kali dan untuk menyempurna-kan keseratusnya ia membaca: La iiaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir , maka diampunkanlah untuknya semua kesalahan-kesalahannya,sekalipun banyaknya itu seperti buih lautan." (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Telah dahululah orang-orang yang menyendiri." Para sahabat bertanya: "Siapakah orang-orang yang menyendiri itu, ya Rasulullah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Mereka itu ialah yang sama berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, baik lelaki ataupun perempuan." (Riwayat Muslim)Maksudnya: Menyendiri dalam ingatnya kepada Allah di waktu orang-orang lain tidak mengingat kepadaNya. Inilah yang lebih dahulu memperoleh keridhaan Allah Ta'ala.

Dari Jabir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Seutama-utama zikir ialah lafaz La ilaha illallah." (Riwayat Termidzi, Hadis hasan)

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sukakah engkau semua saya beritahukan akan sesuatu amalan yang dengannya itu engkau semua dapat mencapai pahala orang yang mendahuluimu dan pula dapat mendahului orang yang sesudahmu. Juga tiada seorangpun yang menjadi lebih utama daripadamu semua, melainkan orang yang mengerjakan sebagaimana amalan yang engkau semua lakukan ini?"Para sahabat menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau kemudian bersabda lagi: "Bacalah tasbih - Subhanallah, takbir - Allah Akbar - dan tahmid - Alhamdulillah - setiap selesai bersembahyang sebanyak tigapuluh tiga kali masing-masing." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Selanjutnya kaum fakir dari golongan sahabat Muhajirin itu kembali mendatangi Rasulullah s.a.w. lalu mereka berkata: "Saudara-saudara kita golongan yang hartawan-hartawan itu telah mendengar mengenai apa yang kita kerjakan ini, oleh sebab itu merekapun mengerjakan sebagai yang kita lakukan itu."Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Yang sedemikian itu adalah keutamaan Allah yang dlkaruniakan oleh Nya kepada siapa saja yang dikehendaki." (Riwayat Muslim)

Monday, October 26, 2009

Tangisan dalam senyuman (naluri seorang umi)



Artikel ini diadaptasi dari sebuah artikel berbentuk teks ucapan yang disampaikan oleh seorang pakar motivasi. Pembentangan artikel ini disampaikan pada Seminar Keluarga Bahagia Anjuran Non-Goverment Organization (NGO) yang saya hadiri pada 2002. Teks artikel ini diolah ke dalam bentuk cerpen agar teknik penyampaian lebih berkesan ke dalam hati kita. Hayatilah cerpen ini bersama-sama.

Ana tidak salahkan Umi. Umi ada sebab berkelakuan begitu.

Umi sayang anak-anak, khususnya Ana. Kalau ditanya, siapakah manusia yang paling Ana sayang, tentu jawapannya Umi. Malah, jauh berkali-kali ganda daripada Walid.

Ana tidak tahu apakah peranan Walid sehingga Ana boleh dilahirkan. Walid keluar pagi dan pulang petang. Ketika Walid sampai di rumah, bajunya berpesuk-pesuk dan lecap dengan peluh.

Walid suruh Umi pasangkan kipas sehingga nombor lima. Sambil bersandar ke kerusi rotan, Walid arahkan Umi membawa air sejuk segelas. Kemudian, Walid pasang hidupkan api rokok, lalu menghisap dalam-dalam dan melepaskan asap ke udara. Berpual-pual wap putih bertebar ke ruang tamu. Walid berehat pulas di kerusi rotan, sedang Umi kembali ke dapur menyambung kerja suri yang bertimbun.

Ketika itu, jangan harap abang dan kakak hendak bermanja dengan Walid. Kalau kena tengking pun sudah bersyukur kerana tangan Walid lebih ringan daripada kain lampin Ana. Ana sendiri pun tidak berani mengacah Walid ketika itu. Lebih baik Ana berondok dalam buaian.

Walid tidak banyak menghabiskan masa dengan Ana. Kalau Umi, Ana sentiasa berada hampir dengannya sepanjang hari melainkan waktu tidur.

Waktu berhempas-pulas keluar dari pintu sempit metah, Ana menangis melihat dunia luas terbentang. Dulu, Ana sangkakan dunia ini hanya sebungkus kulit tipis yang berisi cecair pekat. Cecair ini melindungi seluruh jasad Ana. Ana tiada siapa untuk berbual-bual melainkan Adik.

Oh ya. Dalam dunia sempit itu, Ana ada Adik. Sebenarnya Ana tidak tahu namanya. Begitu juga Adik tidak tahu nama Ana. Malahan, Kami sendiri tidak tahu nama masing-masing. Entah macam mana, Kami bersepakat; Ana panggil dia Adik, manakala dia pula gelar Ana sebagai Abang.

Kami hanya bergerak-gerak sedikit dalam lingkungan cecair pekat itu. Masing-masing ada tali di perut yang bersambung ke dinding tipis itu. Kami mengagak tali itu tentulah bersambung dengan benda besar yang melindungi Kami. Benda besar itu, Kami gelar Umi. Jangan tanya bagaimana Kami mendapat panggilan itu kerana Kami sendiri tidak tahu. Gelaran itu diendus ke hati Kami sehingga Kami yakin dengan Umi.

Begitulah kehidupan Kami. Lama-kelamaan, Kami berasa sayang akan Umi. Kami yakin Umilah segala-galanya bagi Kami. Tentulah, tanpa Umi tiadalah Kami. Kami yakin suatu hari Kami akan keluar dan berjumpa Umi seperti yakinnya Kami betapa Tuhan yang meniupkan roh Kami. Jangan tanya juga bagaimana Kami ketahui wujudnya Tuhan, kerana keyakinan itu datang secara fitrah. Tentu sukar memahami dunia Kami. Dunia Kami sempit, tetapi misterinya tidak dapat ditemui.

Kami semai keyakinan itu betapa setelah Kami bersua wajah dengan Umi, kasih sayang kami makin bercambah dan subur. Adiklah paling kerap mengangan-angankan pertemuan itu.

Hinggalah suatu hari, Kami dengar suara gamat di luar. Ada dua suara, satu milik Umi, manakala yang gasang dan kasar entah milik siapa. Suara Umi juga tinggi tetapi Kami dapat rasakan hati Umi sebak. Kami berkongsi perasaan dengan Umi. Malah, Ana, Adik dan Umi seperti satu.

Halai-balai di luar berlangsung lama. Tiba-tiba, dunia Kami dihentam, gasang dan kuat. Dunia Kami lindu. Cecair pekat berkucah. Umi menjerit kesakitan. Adik bungkam. Ana rasa Adik cuak dengan bising dan hentaman tadi.

Sejak itu, Adik tidak pernah bercakap lagi. Apa jua Ana pujuk, Adik tidak pernah membalasnya.

Masa berlalu, tetapi tidaklah terlalu lama. Sehinggalah suasana sepi berubah. Ana fikir dunia Kami akan dihentam sekali lagi. Ana berdoa, moga-moga Adik akan bercakap semula selepas ini.

Kali ini lebih aneh. Kedudukan Ana berpusing ke bawah. Cecair sekeliling berkucah lagi, tetapi semakin berkurang. Dunia Kami bocor! Ana melihat ada pintu sempit metah dan Ana terdorong menelusinya. Saat itu tetal dengan kesakitan. Ana terseksa. Tentu Adik yang membisu itu juga terdera. Malah, Umi lebih-lebih lagi menjerit kesakitan.

Usai kesakitan melalui pintu sempit, Ana tergegau metah. Dunia berubah. Dunia Kami luas sebenarnya! Ana pun menangis.

Lama Ana menangis sebelum terkedu. Tahu kenapa? Ana dipeluk dan dicium. Ana memetia manusia baru yang Ana soroti ini. 'Ini Umi!'

Ana gembira bertemu Umi, tetapi Ana sedih kerana Adik tiada bersama-sama. Entah ke mana Adik menghilang. Umi juga tidak pernah menyebut tentang Adik. Cuma Ana rasa ada sesuatu yang disembunyikan Umi. Bukankah Kami berkongsi rasa?

Justeru, Ana tetap menyayangi Umi. Biarpun tanpa Adik, Ana tahu kasih Adik begitu jua.

Antara Ana dan Umi, kehidupan Kami berterusan. Sehingga ke hari ini, Ana tetap menghirup kehidupan melalui Umi. Ana tetap menyusu dari sumur Umi biarpun Ana sudah mula mengemam makanan lembut yang Umi suapkan.

Walid? Seperti yang Ana katakan, kehidupan Kami terlalu nadir. Walid hadir di sisi hanyalah apabila malam menjelma. Itupun boleh dibilang jari kerana Walid segera keluar dari rumah dan pulang kembali apabila ayam jantan mula berkokok. Ibulah yang terpaksa terpisat-pisat membuka pintu dan menerima herdikan Walid.

Ana mengerti hati Umi didera. Biarpun, Umi sering tersenyum dan memanjai Ana, hatinya tercalar panjang dan dalam. Hati Ana dijentik pedih merasai galur luka yang lama terukir. Hanya Ana tidak dapat menyatakan perasaan itu kerana Ana tidak upaya berbicara bahasa Umi.

Kalaulah ada Adik, tentu hati Adik berlarah luka. Bukankah Ana, Adik dan Umi berkongsi rasa sejak dunia sempit dulu. Walid datang kemudian, tetapi dengan wajah guram dan derita.

Malah, pernah terlintas dalam hati Ana, Walid ada kaitan dengan peristiwa yang meragut suara Adik. Diam-diam, Ana menjalur dendam. Adik hilang suara kerana Walid. Adik ghaib dalam hayat Ana kerana Walid.

Paling utama, Umi tidak pernah selesa dengan kewujudan Walid dalam dunia Kami. Umi merentan hati dengan Walid.

Umi didera perlakuan Walid. Tangan Walid lebih ringan daripada kain lampin Ana, tetapi tamparan yang singgah ke wajah redup Umi tentu seperti waja. Bahkan Walid pernah menendang Umi kerana lambat membuka pintu. Umi terhunyung hayang dihentam kaki Walid. Hati Anab ergegar. Pantas Ana terlintas peristiwa kehilangan Adik.

Tentulah perlakuan Walid menggigit jiwa Umi. Tetapi hati Ana merisik, masih ada sebab lain membibit dendam Umi. Gasang lebih besar daripada tamparan dan terajang Walid sehingga Umi mengendus dendam dalam diam. Dendam Umi seperti api menjalar dalam sunyi sekam.

Sewaktu malam, ketika Ana terkebil-kebil di katil kecil dan Umi berbaring di ranjangnya, sering Ana terdengar tangisan Umi menggigil dalam gelita. Esak Umi tertahan-tahan menggeletar dalam dingin. Barangkali Umi tidak mahu mengejutkan Ana.

Dalam tangisan itu, Umi menyebut nama Ana. Sering pula dirangkai dengan nama lain yang hampir serupa nama Ana. Telinga Ana digigit nama Walid dilontar Umi dengan pedih. Sejak itu, Ana meyakini ada dendam semakin menanah dalam hati Umi.

Sayang Ana bersama Umi. Dendam menjalar kepada Walid.

Justeru, apa jua perilaku Umi, Ana tetap menyayanginya. Hati Ana memahami dendam marak dalam sunyi itulah musabab peristiwa ini. Peristiwa mengejut metah. Malah, lebih penting membongkar dendam Umi yang terlipat dalam senyuman tipis di bibirnya.

Tegar, Ana tetap memaafkan Umi.

Di luar rumah, udara berbahang. Matahari terik menggigit manusia. Entah mengapa cuaca hari ini berapi. Hari-hari sebelum ini juga panas tetapi tidak memuncak seperti hari ini. Seperti dendam Umi yang sebelum ini membakar perlahan-lahan, cuma marak pada hari ini.

Di dalam rumah, udara berkuam. Sungguh Ana tidak selesa di dalam buaian. Mujurlah Ana tidak berbaju. Peluh membasahi seluruh badan Ana. Lampin lencun. Ana mula menangis.

Walid sudah lama keluar. Pagi-pagi lagi selepas bertengkar dengan Umi. Kali pertama dalam hidup, Ana mendengar Umi meminta cerai. Ana sendiri tidak mengetahui maknanya. Hanya Ana mengerti bahawa Umi mahu Walid pergi daripada kehidupan Kami. Atau pun barangkali yang lebih tepat, Umi meninggalkan Walid.

Walid meradang. Pasti, radang itu hadir bersama kaki dan tangannya. Umi seperti hilang ingatan. Walid semakin gasang. Suasana semakin panas meskipun fajar baru usai dan matahari mula bergeliat di dada langit.

Dendam Umi meletup. Ana mula mengetahui tentang hentaman yang memisahkan Ana dengan Adik dalam dunia kecil Kami dulu. Umi membongkar dendam itu.

"Kau pembunuh anakku!"

Hati Ana bergegar. Ana menangis. Jasad Adik hadir di mata Ana. Wajah suram Umi menggilir pula datang. Wajah redup menyimpan dendam sekian lama yang terguris di hati. Wajah Walid, gasang menerpa serentak hentaman peristiwa silam yang meragut suara Adik daripada hidup Ana di dunia kecil dan jasad Adik di dunia luas ini.

Benar, terajang Walid meragut Adik. Walid tidak menyedari kerana emosi Walid memuncak panas. Umi tidak merasai kehilangan Adik kerana Ana masih bergerak-gerak dalam dunia sempit itu.

Setelah puas memukul Umi, Walid pun keluar dari rumah.
Ummi berteriak, "Pergilah ke rumah betina itu! Berambus dari kehidupan aku!"

Sungguh, itulah kali pertama Ana mendengar suara Umi segasang itu. Umi tidak pernah menaikkan suara, biarpun Walid menaikkan tangan. Umi tidak pernah sekasar itu, biarpun Walid menggasang jasad Umi.

Setelah Walid hilang dari pandangan, Umi menyendiri di kamar. Abang dan kakak yang terkejut dengan pertengkaran seawal pagi itu berpelukan sesama sendiri di tepi buaian Ana. Ana menangisi pemergian Adik dan bingung dengan perubahan Umi. Rumah Kami jauh dari jiran untuk mereka merasai bahang pada pagi itu.

Suasana sepi sekian lama. Matahari semakin memanjat langit. Ana hampir terlelap dalam kelaparan dan kebasahan. Sejak pagi, belum ada sesuatu pun masuk ke dalam perut Ana. Umi terlalu sibuk dengan kesendiriannya dalam kamar. Abang dan kakak masih kebingungan di tepi buaian Ana. Seperti yang Ana katakan, cuaca hari ini panas metah.

Hanya kemudian, Kami dikejutkan suara Umi menjerit-jerit dalam kamar. Bunyi halai-balai dari kamar Umi. Abang dan kakak terkejut. Saya juga tergegau metah. Umi keluar dari kamar dan terus ke dapur dalam pakaian tidak terurus.

Abang dan kakak ketakutan berlari ke luar. Ana? Tentulah dalam keadaan merangkak hanya berondok dalam buaian. Malah, andai Ana boleh berlari sekali pun, Ana tidak akan berlari kerana bukankah Kami berkongsi rasa?

Umi muncul di depan Ana dengan pisau di tangan. Umi mengenjut buaian perlahan. Umi menyanyi. Nyanyian Umi perlahan tetapi menggetis hati. Lagu Umi duka, tersirat dendam yang terkumpul. Ana tidak mengerti apa yang berlaku pada Umi.

Umi seperti bukan Umi lagi. Umi seperti manusia asing yang jauh dari Ana. Umi bukan seperti yang Ana kenali atau seperti yang Adik angan-angankan dalam dunia sempit dulu.

Umi berwajah aneh. Tangan Umi menggeletar dan pisau mengigil. Umi melutut, menyorot wajah Ana. Aduh, sinar mata Umi seperti matahari di luar, tajam menggigit pandangan.

Panas semakin berkuam dalam rumah. Ana mencari-cari hati Umi. Barangkali hati Umi wajib diendus sayang Ana. Cuma, Ana tidak menemui letak hati Umi sekarang. Benarlah, Umi bukan seperti Umi lagi.

"Walidmu yang memisahkan adikmu. Maafkan Umi kerana tidak menyedari kehilangan kembarmu melainkan setelah diberitahu doktor. Bidan yang menyambut kelahiranmu terpaksa merujuk Umi ke hospital. Mereka membedah Umi dan mengeluarkan adikmu. Tuhan, Walidmu pembunuh anak sendiri."

Hati Ana sayu. Adik diam bukan kerana kehilangan suara. Adik membisu kerana Adik sudah tiada bersama-sama Ana. Sekian lama Ana memujuk jasad tanpa roh. Ana kehilangan Adik lebih awal daripada Ana menyedari kehilangannya.

Umi kembali menyanyi. Pedih sekali lagu Umi. Luka di hati semakin terkuak.

"Marilah sayang. Marilah kita bertemu adikmu. Biar kita bertiga sama-sama menyanyi di dunia lain. Kita bertiga di dunia sempit tetapi selesa berbanding dunia sekarang yang luas tapi penuh derita. Mahu sayang?"

Ana pun menangis. Ana tidak tahu musababnya. Barangkali ingatan terhadap Adik. Barangkali juga melihat Umi tidak seperti Umi lagi. Tidak mustahil kerana dendam Umi dan Ana. Semuanya berkumpul, seperti Ana, Adik dan Umi bersatu.

"Biarlah kita bertiga, Ikbal, Ikmal dan Umi...."

Ketika itu, Ana berasa pedih di leher. Dendamkah itu yang mengguris Ana? Dunia luas itu semakin kelam dan sempit. Hitam. Gelita.

Balam-balam, Ana melihat Adik. Adik tersenyum. Adik sudah sebesar Ana. Adik peluk Ana. Di hati, Adik berbisik, 'Baliklah Abang. Lain kali kita jumpa lagi. Adik sayang Abang. Adik sayang Umi."

Adik pun hilang. Ana buka mata. Dunia terang kembali. Putih. Cerah. Walid ada di sisi. Walid menangis. Kakak dan abang juga. Tetapi Umi tiada. Ke mana Umi?

Kata orang, Umi gila meroyan. Ana tidak tahu apa itu meroyan. Suatu hari nanti mungkin Ana akan tahu. Orang kata lagi, Umi sudah ada tanda-tanda itu selepas melahirkan Ana dan kembar Ana meninggal dalam kandungan. Umi tidak dapat menerima takdir kehilangan Adik.

Umi pendam perasaan. Walid tidak menyedari emosi Umi terluka, malah tindakan Walid menambah parah luka Umi. Sehinggalah suatu hari, luka itu menguak dan darah menyerbu keluar. Umi mengamuk!

Jiran yang jauh bersyukur kerana abang dan kakak menangis meluru ke rumah mereka. Mereka bergegas ke rumah dan mendapati Umi cuba mengelar leher Ana. Mereka dapat selamatkan Ana daripada menjadi mangsa amuk Umi.

Orang bercakap-cakap. Mereka tidak sedar Ana memahaminya. Mereka musykil mengapa Umi yang penyayang bertindak sebegitu. Hanya Ana yang berkongsi rasa, mengetahui kisah sebenar ini.

Kini, Umi tidak seperti Umi lagi. Dan Walid, tidak seperti Walid dulu lagi. Walid sudah insaf. Setiap malam, sewaktu menguliti Ana, Walid meluahkan kesalnya.

"Ikbal, Umimu tidak bersalah. Walid yang bersalah. Jangan berdendam kepada Umimu, ya sayang! Moga-moga Umimu di hospital akan pulih suatu hari nanti."

Ana tidak pernah berdendam dengan Walid dan Umi. Ana juga belajar memaafkan Walid yang mahu menjadi Walid yang baik.

Ana tidak salahkan Umi. Ana sayang Umi, meskipun Umi sudah jauh dan tidak mengenali anak-anaknya lagi. Sayang Ana kepada Umi seperti kepada Adik. Meskipun, Adik sudah jauh dan Umi dikurung di hospital, Ana, Adik dan Umi seperti satu.

Benarlah, Kami berkongsi perasaan. Hanya Kami mengetahui.

Sunday, October 25, 2009

Kisah Seorang Guru..




Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini seorang Doktor pakar segala
Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira
Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama
Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulai oleh seorang guru biasa
Yang dengan tulus ikhlasnya mengajar tulis baca!